Monday, October 10, 2005

PAS hantar sukarelawan ke kawasan bencana gempa- Presiden

Monday, October 10 @ 18:53:43 MYT


Oleh MOHD SABRI SAID


PADANG SERAI, KEDAH, 10 Okt (Hrkh)- Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan menghantar sukarelawan untuk membantu mangsa gempa bumi di utara Pakistan secepat mungkin.



Beliau yang berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Kampung Sungai Badak, Kulim semalam menegaskan, pasukan itu akan diuruskan oleh NGO yang sudah terbukti berjaya membantu mangsa tsunami di Acheh pada 26 Disember 2004.



"PAS bersimpati dan mengucapkan takziah pada Perdana Menteri Pakistan, India dan juga Afganistan kerana mengalami bencana gempa bumi yang mengorbankan puluhan ribuan orang. PAS juga akan menghantar sukarelawan untuk tujuan bantuan kemanusiaan, " ujarnya.



NGO berkenaan yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti bantuan kemanusiaan dan kemasyaraktan nyata telah menaikkan nama PAS di arena antara bangsa selepas berjaya menjadi rombongan terawal ke Acheh semasa tsunami lalu.



Di Pakistan nanti sambung bekas Menteri Besar Trengganu itu, pasukan terbabit akan melaksanakan perbagai bantuan seperti menyediakan pusat rawatan kecemasan, tempat tinggal sementara serta mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.



"Kita akan pastikan bantuan daripada PAS akan tiba di Pakistan dengan membawa keperluan perubatan dan perkhemahan. Ini kerana lapuran mengatakan ramai rakyat terutamanya di utara Pakistan hilang tempat tinggal ekoran gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter, " tegas beliau.



Turut berceramah dalam program anjuran PAS Kawasan Padang Serai itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Azizah Abdul Razak.



Menurut Ustaz Hadi, sepatutnya Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) ke hadapan dalam isu sebegini bukannya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atan pertubuhan bukan Islam.



Malangnya kata beliau, OIC lesu manakala PBB atau pertubuhan bukan Islam nyata lebih hebat dalam usaha membantu mangsa yang terlibat.



"Sudah menjadi kelaziman OIC lambat bertindak terhadap isu yang berlaku. Dulu tsunami di Acheh pun begitu juga lambat sehingga dikritik, " jelasnya.


-zs