Sunday, October 02, 2005

Tranung Kite Online - Pakai Islam...

Tranung Kite Online - Pakai Islam...: "Macam baju. Baju akan nampak cantik dan ada fungsi bila ia dipakai. Kalau setakat digantung dalam almari atau berada dalam lipatan, baju yang mahal-mahal pun tiada berguna.


Macam kereta jugak. Kalau kereta tu jenis pacuan 4 roda, mesti kita cuba bawak kereta tu dulu masuk lumpur, redah sungai, panjat bukit,turun bukit dan lepas tu baru kita tahu yang kereta tu memang sesuai dengan taraf pacuan 4 rodanya.

Jadi, Islam tu tidak akan nampak cukup cantik kalau ia tidak dipakai.

Memang mudah nak kata Islam itu begitu dan begini. Tetapi mengamalkannya?

Memakai Islam bukan semudah membuat slogan dan bernada retorik.Macam slogan 'Membangun Bersama Islam', 'Ulama Mesti Memimpin' mahupun 'Islam Had-hari Terengganu Bestari'. Kalau memakai Islam itu sekadar pada slogan, sudah tentu kita boleh pertandingan mencipta nada retorika terbaik bertemakan Islam. Maka akan muncullah pelbagai cop dan label lagi seperti 'Moden Bersama Islam Progresif', 'Islam Liberal Menuju Kemajuan' atau 'Hanya Salafi
Pemusnah Bidaah'.

Islam itu mesti diamalkan. Sebab itu dalam Quran
disebut "Sesungguhnya Rasulullah itu contoh tauladan paling baik."Dan dalam hadis daripada Saiyyidatina 'Aisyah sendiri menyebut perangai Rasulullah itu adalah al-Quran.

Memang mudah sebut dan berceramah, "Rasulullah itu tuan puan sekalian, kena tabur najis, duri, perut unta waktu mahu beribadah.Tapi baginda adalah orang pertama menziarahi wanita yang sering melemparkan najis terhadap baginda.Malah, dalam peristiwa Thaif,baginda doakan lagi kebaikan orang Thaif walaupun dihalau mereka."

Tetapi kalau kena kat diri sendiri bagaimana?

Adakah kita mampu menjadi seperti pokok yang menggugurkan buah apabila dilemparkan batu seperti yang diucapkan oleh as-Syahid Imam
Hassan al-Banna?

Islam dihina sebab kita tak nak pakai Islam. Orang Islam suka pakai ideologi lain selain ajaran Islam. Sekular. Nasionalis. Komunis.Sosialis dan sebagainya.

Bila orientalis cakap hadis tak boleh pakai, sebab hadis ni hanya ada 200 tahun lepas Nabi saw wafat... maka orang Islam pun angguk dan tolong sebarkan.

Bila orientalis cakap, wanita tak perlu pakai tudung, kolot. Maka ada orang Islam angguk dan tolong pertahankan 'fatwa' orientalis tersebut.

Bila orientalis cakap, poligami ni menganiaya wanita, maka ada juga orang Islam sami'na wa ato'na dan siap berkempen '1 Suami 1 Isteri'.

Bila orientalis cakap, hukum-hakam Islam ni kejam, juga orang Islam terima sahaja dan pertahankan undang-undang yang tidak selari dengan syariat.

Kan pelik. Mengaku diri ini Muslim, tetapi tak mahu pakai Islam.Macam pengusaha rangkaian McDonalds, tetapi suka makan di Burger King. Macam mengaku sokong Liverpool tapi jadi ahli Kelab Penyokong Manchester United.

Kita tahu Bush ni memang tidak suka orang Islam, tapi ada di antara kita masih mengharap penggal kedua Bush ini dia boleh memberikan satu sinar harapan untuk Dunia Islam!

Nak pakai Islam mesti faham petunjuk Quran Sunnah. Bukan sekadar berbicara sesedap mulut dan akal. Adakalanya kita belajar Islam bukan dari orang yang sepatutnya. CNN, CIA, Agensi, Reuter, FBI,Mossad dan pelbagai agensi kuffar serta media lainnya. Malah adakalanya tidak mahu berguru. Sedangkan Malaikat Jibrail ra itu sendiri menjadi guru kepada Rasulullah saw. Sahabat-sahabat besar semua itu belajar dengan Rasulullah saw. Semua golongan Tabi'in belajar dari golongan Sahabat. Golongan Tabi' Tabi'in menuntut dari
golongan Tabi'in. Dan seterusnya. Inilah rantaian Islam. Inilah yang sejajar dengan pesanan Rasulullah, "Ulama adalah pewaris para Nabi."

Kerna tidak mahu pakai Islam inilah umat Islam sekadar menjadi buih di lautan. Bilangannya banyak. Mencecah bilion. Tetapi hampeh.Imannya nipis. Setebal kulit bawang. Semangat jihadnya pudar.Ukhuwahnya longgar.

Dia rasa itu kawan dia kalau sama jemaah sahaja. Dia rasa itu saudara dia bila sama fahaman politik sahaja. Sebab dia tak nak satu parti @ jemaah @ organisasi dengan kita, kita rasa tak perlu wujud ukhuwwah Islamiyyah."Sape suruh kau sokong pemimpin lain?" "Sape suruh kau ikut aliran lain?" Begitulah gamaknya.

Nabi pesan agar kita semua ini agar setiap hari ambil tahu pasal dunia Islam. Apa terjadi di Patani lepas tragedi Tak Bai? Apa terjadi dengan Yasser Arafat sekarang? Presiden baru Indonesia ni bagaimana sikapnya dengan orang Islam Indonesia? Darfur dan puak Janjaweed itu apa bendanya? Islam Had-hari ini ajaran apa?

Bukannya bangun berpagi-pagian mendengar dan mencari gossip artis dan selebriti. Hari ini artis mana nak buat laporan polis palsu?Hari ni anak raja mana nak kahwin? Artis mana yang makan telur dalam jamban? Artis mana yang baru bercerai?

Kalau tengah demam Akademi Fantasia dan Malaysia Idol, sanggup untuk tidak miss setiap siaran diarinya dan segala highlightnya, malah sanggup habis sehingga ribuan ringgit untuk SMS idola kesayangan.

Kalau hari Jumaat, kotak derma lalu buat-buat tidur. Kalau pakcik lalu kutip derma, buat-buat khusyu' dengar khutbah. RM 200 sebulan untuk SMS itu ini boleh, derma untuk anak yatim RM 2 pun tak sampai.

Dalam khutbah tadi juga disebut seorang warga Afrika Selatan yang meminta umat Islam Malaysia tingkatkan kesyukuran kepada Allah. Ketika berkunjung di Masjid Shah Alam, kepala paip tiada tetapi air mengalir. Di tempat dia, kepala paip ada, air tak keluar.

Pakai lah Islam dengan segera. Kaum Nabi Hud juga mampu bina bangunan pencakar langit. Tetapi Allah binasakan mereka sebab taknak pakai ajaran Islam. Dan Malaysia tidak pernah terkecuali daripada azab Allah ini kalau kita berterusan memakai ajaran selain Islam.

Wallahua'lam."