Friday, June 02, 2006

Polis mesti berhenti tindas pembangkang - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Hrkh): Pasukan polis seharusnya menyedari lebih awal bahawa kewujudan pembangkang amat penting bagi membolehkan semua bentuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di dalam negara ini ditegur dan dibenteras dengan lebih berkesan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mahfuz Omar menyatakan perkara itu ketika mengulas ugutan polis bahawa mereka akan mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang jika kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Tidak kira sama ada IPCMC ditubuhkan atau tidak, pihak polis mestilah menghentikan amalan menekan dan menindas pembangkang dan membebaskan diri mereka dari diperalatkan oleh Barisan Nasional.

"Jika pembangkang dihapuskan dengan tekanan, penindasan dan operasi pihak polis, akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan besar-besaran di negara ini dan akibatnya akan dirasai oleh semua pihak termasuk pihak polis dan keluarga mereka," kata beliau.

Kewujudan pembangkang juga, katanya, akan dapat membantu polis memulihkan maruah dan harga diri mereka dan tidak selama-lamanya menjadi alat yang dipergunakan sesuka hati untuk kepentingan Barisan Nasional.

Menurut Mahfuz, walaupun terlalu banyak rasa tidak puas hati terhadap tindakan polis dalam menangani pelbagai kes, tetapi ketegangan paling ketara antara pihak polis dan rakyat berpunca dari sikap polis yang merelakan diri mereka diperalatkan oleh Barisan Nasional.

"Adalah suatu pembohongan jika polis tidak tahu membezakan yang manakah tugas untuk negara dan yang manakah tugas untuk kepentingan Barisan Nasional. Tetapi polis sentiasa menggambarkan sikap tidak peduli yang tidak membezakan tugas untuk negara dan tugas untuk kepentingan Barisan Nasional," kata beliau.

Mahfuz meminta pihak polis memikirkan bagaimanakah perasaan anggota-anggota mereka yang diperkudakan untuk kepentingan Barisan Nasional walaupun pada waktu dimana mereka sepatutnya melepaskan penat lelah mereka.

"Adakah polis pernah mengkaji apakah perasaan anggota yang dipaksa bertugas sehingga hampir pagi semata-mata untuk mengganggu ceramah parti-parti pembangkang di mana sering berlaku mereka dipaksa menyerang ceramah parti pembangkang termasuk menggunakan kekerasan sedangkan ceramah-ceramah pembangkang tidak pernah mencetuskan kekecohan dan rusuhan.

"Pada waktu itu, adakah anggota-anggota polis yang dipaksa bertugas dan menyerang itu tidak mempersoalkan di dalam hati mereka sama ada mereka berkerja untuk negara atau sebenarnya direndahkan martabat dan harga diri mereka menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional?" kata beliau.

Mahfuz meminta polis bersikap lebih demokratik dan berpendirian terbuka untuk mengundi pembangkang sama ada IPCMC ditubuhkan atau tidak. -mr

NGO kecam perbuatan polis lerai protes dengan kekerasan

Oleh Faisal Mustaffa

Tindakan polis ke atas orang awam yang menjalankan protes atas kenaikan harga Ahad lalu mendapat kecaman daripada pelbagai pertubuhan.

Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Bunuh dan Penyiksaan (Madpet) berpendapat 500 orang awam yang hadir dalam perhimpunan aman di Menara Berkembar KLCC sejak pukul 10.30 pagi itu hanya melakukan apa yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bersuara.

Orang awam tersebut diugut dengan serangan pancutan air pemedih mata dan tindakan kekerasan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan pegawai-pegawai cawangan khas (SB) di bawah arahan OCPD Dang Wangi, ACP Kamal Pansha.

Madpet dalam kenyataan yang dikeluarkan 29 Mei lalu menyebut bahawa tindakan polis yang menyebabkan tiga orang awam mengalami kecederaan di kepala, tidak dapat diterima.

“Salah seorang daripada mereka ditendang oleh pegawai polis di hadapan dua anak perempuannya,” kata N SUrendran yang bertindak sebagai jurucakap.

Menurut Surendran lagi, penggunaan gas pemedih mata yang digunakan oleh FRU pada 28 Mei lalu adalah seperti keadaan yang berlaku di Afrika Selatan ketika rejim Apartheid.

“Oleh sebab itulah, kami menggesa agar penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahguna Kuasa Polis (IPCMC),” tambah Surendran lagi.

IPCMC, menurut Madpet mampu untuk melindungi rakyat Malaysia dari tindakan-tindakan polis di luar batas undang-undang.

Surendran yang juga seorang peguam juga meminta agar tindakan segera diambil terhadap anggota polis yang menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air bagi meleraikan orang ramai pada hari itu,

Dalam membincangkan perkara yang sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata perdana Menteri mesti bertindak segera atas peristiwa yang berlaku Ahad lalu.

“Hanya IPCMC yang boleh hentikan krisis kuasa dan disiplin pihak polis,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan 30 Mei lepas.

“Dollah (Badawi) mesti bertindak segera dalam agendanya memerangi rasuah, ketelusan dan urustadbir Negara,” tambahnya lagi.