Polis mesti berhenti tindas pembangkang - Mahfuz
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mahfuz Omar menyatakan perkara itu ketika mengulas ugutan polis bahawa mereka akan mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang jika kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
"Tidak kira sama ada IPCMC ditubuhkan atau tidak, pihak polis mestilah menghentikan amalan menekan dan menindas pembangkang dan membebaskan diri mereka dari diperalatkan oleh Barisan Nasional.
"Jika pembangkang dihapuskan dengan tekanan, penindasan dan operasi pihak polis, akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan besar-besaran di negara ini dan akibatnya akan dirasai oleh semua pihak termasuk pihak polis dan keluarga mereka," kata beliau.
Kewujudan pembangkang juga, katanya, akan dapat membantu polis memulihkan maruah dan harga diri mereka dan tidak selama-lamanya menjadi alat yang dipergunakan sesuka hati untuk kepentingan Barisan Nasional.
Menurut Mahfuz, walaupun terlalu banyak rasa tidak puas hati terhadap tindakan polis dalam menangani pelbagai kes, tetapi ketegangan paling ketara antara pihak polis dan rakyat berpunca dari sikap polis yang merelakan diri mereka diperalatkan oleh Barisan Nasional.
"Adalah suatu pembohongan jika polis tidak tahu membezakan yang manakah tugas untuk negara dan yang manakah tugas untuk kepentingan Barisan Nasional. Tetapi polis sentiasa menggambarkan sikap tidak peduli yang tidak membezakan tugas untuk negara dan tugas untuk kepentingan Barisan Nasional," kata beliau.
Mahfuz meminta pihak polis memikirkan bagaimanakah perasaan anggota-anggota mereka yang diperkudakan untuk kepentingan Barisan Nasional walaupun pada waktu dimana mereka sepatutnya melepaskan penat lelah mereka.
"Adakah polis pernah mengkaji apakah perasaan anggota yang dipaksa bertugas sehingga hampir pagi semata-mata untuk mengganggu ceramah parti-parti pembangkang di mana sering berlaku mereka dipaksa menyerang ceramah parti pembangkang termasuk menggunakan kekerasan sedangkan ceramah-ceramah pembangkang tidak pernah mencetuskan kekecohan dan rusuhan.
"Pada waktu itu, adakah anggota-anggota polis yang dipaksa bertugas dan menyerang itu tidak mempersoalkan di dalam hati mereka sama ada mereka berkerja untuk negara atau sebenarnya direndahkan martabat dan harga diri mereka menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional?" kata beliau.
Mahfuz meminta polis bersikap lebih demokratik dan berpendirian terbuka untuk mengundi pembangkang sama ada IPCMC ditubuhkan atau tidak. -mr
<< Home