|         Islam:       Antara Melayu dan Cina          |                          |                  Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin     (moasriza@yahoo.com)     Kadang kala penggunaan istilah yang   salah boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada kefahaman orang lain terhadap sesuatu perkara. Lebih malang lagi jika ianya membabitkan   kefahaman orang terhadap agama. Dalam pemerhatian saya, antara fahaman yang   buruk yang membabitkan agama ialah menjadikan melayu nama ganti kepada Islam,   dan cina sebagai ganti kepada kafir.         Maka ada orang melayu yang menyatakan kepada orang yang baru menganut Islam   "masuk melayu", atau kadang kala mereka sebut "bukan Islam,   cina!!". Seakan-akan bagi mereka cina mewakili   kafir, melayu mewakili Islam. Sehingga lebih buruk lagi apabila mereka   melebel sepanjang hayat seorang bukan muslim yang berbangsa cina jika   menganut Islam sebagai muallaf , lebih buruk dalam   loghat utara `mat loh'.     Seakan-akan hanya melayu sahaja yang   dapat jadi muslim sejati, adapun seorang cina walau macamana kuat pun   Islamnya, dia tetap dianggap sebagai menumpang atau `tidak asli'. Padahal   banyak orang cina yang menganut Islam dan keislaman mereka begitu baik, dan   berapa banyak pula orang melayu yang lahir dalam keluarga muslim, namun   keislaman mereka harus dan wajar dipertikaikan.     Kain pelikat, baju melayu dan sampin   bukan pakaian Nabi s.a.w. Namun orang melayu menganggap ianya pakaian   berunsur agama, kerana ianya budaya melayu. Ya! Islam juga tidak menghalang   budaya yang tidak menyanggahi nas-nasnya. Namun seketika dahulu orang melayu   menganggap salah jika makan dengan `cop stick', kerana ianya menyamai budaya   orang cina. Walaupun tiada beza antara makan dengan cop stick dengan makan   menggunakan sudu dan garpu Inggeris.     Apa yang Nabi s.a.w. suruh ialah   menyebut nama Allah, menggunakan tangan kanan dan makan bahagian yang sudah   diperuntukkan, atau yang hampir. Ini seperti sabda Nabi s.a.w kepada `Umar   bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:   "Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan   apa yang dekat denganmu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).     Orang melayu akan suruh orang cina   yang menganut Islam menukar nama mereka, lalu diganti dengan nama arab.   Seakan nama seperti Ah Chong, Ah Seng, Lim, Koh, mewakili kekufuran. Mungkin   kerana tidak berbunyi arab, lalu orang melayu rasa janggal. Malangnya orang   melayu tidak merasa janggal dengan nama Awang, Leman, Seman dan yang   seumpamanya yang semuanya bukan bahasa arab. Bahkan banyak nama melayu yang   tidak ada makna pun dalam bahasa arab. Lebih daripada itu, ada yang maknanya   buruk jika diterjemahkan ke dalam dalam bahasa arab. Pun tidak mengapa kerana   itu nama-nama pilihan melayu. Apakah melayu itu Islam, Islam itu melayu!!. Nabi s.a.w sendiri tidak menyuruh mereka yang menganut   Islam pada zaman baginda mengubah nama, melainkan nama- nama yang membawa   makna yang tidak baik. Nama `Umar itu sejak zaman jahiliyyah lagi dan itulah   namanya apabila dia menganut Islam. Demikian juga kebanyakan para sahabah   yang lain. Saya tidak membantah orang cina yang ingin mengubah nama. Apatah   lagi jika dengan mengubah nama itu menjadikan mereka kelihatan hampir dengan   masyarakat Islam di seluruh peringkat. Namun mereka mesti diberi pilihan.   Jika mengubah nama menjadikan orang cina yang non-muslim takut untuk menganut   Islam, seakan terbuang dari keluarganya yang asal dan hilang hubungan   kerabat, apa salahnya mereka kekal dengan nama asal?!!.   Jika Awang boleh kekal, mengapa Ah Chong tidak?!!.     Anggapan yang men`seiras'kan Islam dengan watak   melayu sangat buruk kesannya dalam banyak hal. Apatah lagi apabila watak   bangsa melayu sekarang sebahagiannya bertentangan dengan Islam. Sementara   banyak watak bangsa cina banyak padanya akhlak dan tabiat yang dipuji oleh   Islam. Cumanya kelebihan yang tidak dapat dipertikaikan, ramai orang melayu   bariktikad dengan akidah Islam berbanding dengan orang cina di Malaysia ini.   Aqidah yang sahih adalah penyelamat utama kehidupan akhirat. Namun tidak   boleh dinafikan, ramai melayu yang hanya bernama dengan nama seorang muslim,   sedangkan keimanannya kepada Allah dan RasulNya kadang-kala telah lama   musnah. Betapa banyak melayu melakukan syirik, mempersendakan hukum-hakam   Allah dan sunnah RasulNya. Melayu jenis ini hanya bernama dengan nama muslim,   tetapi tidak berada dalam daerah iman, atau dalam kata lain terbatal imannya.       Orang cina pula, disebabkan fonomena   sejarah, menjadikan majoriti mereka tidak menganut Islam. Seruan Islam   mungkin tidak jelas sampai ke pengetahuan mereka. Ditambah lagi orang melayu   yang menganut Islam ini tidak menyampaikan dakwah yang jelas. Sebaliknya   dalam banyak hal mempertontonkan kepada mereka watak-watak yang menyanggahi   Islam. Orang melayu boleh berbincang bermacam-macam perkara dengan orang   cina, termasuk mengajak undi parti pilihan mereka. Namun mereka tidak mampu   membincangkan mengenai kehebatan Islam, dan mengajak orang cina menganut   agama pilihan mereka. Bahkan sikap-sikap melayu yang banyak tidak seiras   dengan Islam telah menjadikan sebahagian besar orang cina salah faham   terhadap Islam, atau merasa jelek untuk menganut Islam.     Sifat `tidak rajin', kurang berusaha,   berdendam kesumat dan seumpamanya adalah sifat-sifat yang diperangi oleh   Islam. Malangnya, banyak sifat-sifat ini terlihat pada diri masyarakat   melayu. Ramai pelajar melayu yang lemah serta ketinggalan dalam pelajaran dan   ilmu pengetahuan. Jika mereka bersaing dengan pelajar cina, samada di sekolah   atau universiti, dalam banyak keadaan pelajar melayu kecundang. Hinggakan   dalam persoalan ilmu-ilmu Islam, orang melayu tidak berminat dengan ilmu Islam   yang tulen. Mereka lebih minat cerita-cerita Israiliyyat, cerita dongeng,   petua-petua yang tidak bersumberkan al-Quran dan al- Sunnah. Mereka lebih   suka maklumat yang diperolehi secara mudah tanpa fikir dan kaji.     Perpustakaan-perpustakaan awam dan buku-buku,   nisbah orang melayu yang mengguna dan membaca masih lagi nipis. Lebih buruk   lagi, dalam masa pelajar-pelajar cina berusaha dalam pelajaran mereka,   pelajar- pelajar melayu ramai pula yang cuai. Namun begitu apabila hampir   kepada tarikh peperiksaan sesetengah ibubapa melayu akan mencari kismis jampi   atau air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan yang cemerlangan.     Hasilnya, apabila keputusan   peperiksaan keluar, pelajar yang berusaha tentu lebih cemerlang daripada yang   hanya bergantung dengan air atau kismis jampi. Kalau orang cina yang belum   Islam tersalah faham tentang Islam dengan menganggap perbuatan pelajar melayu   yang bergantung dengan air yang dianggapnya agama Islam, lalu mendapat   keputusan yang kurang baik daripadanya, tentu dia menolak Islam.     Islam tidak mengajar hanya berjampi   untuk menjadi cerdik. Dalam hadith ada beberapa orang sahabah yang dido`akan   oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah   yang masih muda Ibn `Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya   : "Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat   al-Bukhari). Ibn `Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan,   penafsir al- Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn   `Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang   bergolek, sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha   memperolehi ilmu.     Selain daripada berkesempatan   mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh   bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn `Abbas tiga belas tahun. Beliau   terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti `Umar ibn Khattab, `Ali,   Mu'az, bapanya sendiri iaitu `Abbas, `Abd al-Rahman bin `Auf, Abu Sufyan, Abu   Zar, Ubai bin Ka'b, Zaid bin Thabit dan lain. Berguru al-Quran dengan Ubai   bin Ka'b dan Zaid bin Thabit. (lihat: al-Zahabi,   Siyar `Alam al-Nubala`, 3/332- 337, cetakan: Maktabah al-Risalah, Beirut).     Ertinya terlaksananya kehendak Allah   dengan peraturan yang Allah tentukan untuk alam ini, iaitu sebab musabab.   Ilmu datang dengan usaha dan kesungguhan. Para   ulama seperti al-Imam al-Bukhari (w. 256H), al-Imam al-Syafi`I (w. 204H), Ibn   Taimiyyah (w. 728H) dan seumpama mereka mereka menjadi jaguh ilmu setelah   bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ditanya al-Imam al-Syafi`i. Dalam   Tawali al-Ta`nis   bi Ma`ali Muhammad bin Idris karangan Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H); kata   Ibn Abi Hatim: "Aku mendengar al-Muzani (murid besar al-Imam al-Syafi`I)   berkata: "Ditanya kepada al-Syafi`I: Bagaimana perasaan inginanmu   terhadap ilmu?. Jawabnya: "Apabila aku   mendengar satu perkataan yang belum pernah aku dengar, maka seluruh anggota   inginkan jika mereka memiliki pendengaran agar dapat menikamati apa yang   dinikmati oleh kedua telinga". Bagaimana halobamu terhadap ilmu?. Jawabnya: "Seperti haloba pengumpul harta yang   begitu menjaganya dalam mencapai kelazatan hartanya". Bagaimana keadaan   engkau mencari ilmu?. Jawabnya :   "Seperti pencarian seorang wanita yang kehilangan anak tunggal".     Demikianlah juga Syeikh al-Islam Ibn   Taimiyyah yang disebut oleh muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim (w. 751H) bahawa   karangan gurunya mencapai 350 buku. Beliau dikatakan sentiasa mendampingi   ilmu. Hidupnya dengan ilmu. Dalam Raudah al-Muhibbin Ibn al-Qayyim menyebut : "Syeikh kami (Ibn Taimiyyah) menceritakan   kepadaku: "Apabila aku sakit, tabib menyatakan kepadaku :   "Sesungguhnya mentelaahmu dan cakapmu dalam ilmu pengetahuan menambahkan   sakitku". Jawabku: "Sesungguhnya aku tidak sabar untuk itu. Aku   ingin menilai pandanganmu dengan ilmu perubatanmu; tidakkah jiwa apabila ia   gembira dan suka maka tabiatnya menjadi kuat dan menolak penyakit?". Jawab dia: "Ya". Aku berkata:   "Sesungguhnya diriku bergembira dengan ilmu, maka tabiatnya menjadi kuat,   lalu aku mendapati kerehatan".     Demikianlah para ulama yang cemerlang.   Mereka tidak bergantung kepada air jampi atau pensel dan pemadam jampi   sebelum memasuki peperiksaan. Juga tidak air surah Yasin yang masyarakat   melayu sering meminum airnya dengan melupakan kandungan ayatnya. Generasi   lalu cemerlang kerana mementingkan ilmu dan ikhlas kepada Allah dalam   menuntutnya. Bukan hanya mementingkan sijil. Sikap mereka yang ikhlas   terhadap ilmu dan berusaha agar benar-benar cemerlang dalam bidang yang   diceburi membawa Islam gemilang dan terbina tamadun ilmunya.     Ramai anak melayu yang hanya   mementingkan sijil tetapi tidak kualiti ilmunya. Akhirnya ramai yang mendapat   sijil, namun tidak tertonjol kualitinya. Maka lahirlah golongan yang tiada   sijil dan ada ilmu, dalam masa yang sama yang lebih malu ialah golongan yang   ada sijil, tiada ilmu. Ini kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk   menjawab peperiksaan, apabila tamat peperiksaan ilmu pun hilang. Kalaulah air   jampi benar-benar berfungsi tanpa perlukan kesungguhan ilmu tetapi akan betul   dalam peperiksaan, maka itu tentu akan melahirkan lebih ramai pelajar lulus atau berjaya tanpa ilmu.     Kita kadang-kala patut memuji   masyarakat cina. Ada   anak-anak orang cina yang tidak tinggi persekolahan mereka, tetapi mempelajari   sesuatu bidang dengan tekun sekali tanpa sijil. Mereka samada mewarisi ilmu   ibubapa mereka, atau membelajarinya secara praktikal daripada orang lain.   Maka ramai mekanik cina yang sijilnya tidak tinggi tetapi maju. Demikian juga   kebanyakan taukeh-taukeh besar cina yang pakar dalam berbagai-bagai bidang   peniagaan sekalipun tanpa sijil rasmi. Mereka terus mencari peningkatan.   Tabiat kesungguhan ini adalah sesuatu yang disukai oleh agama. Agama   menggalakkan agar kita sentiasa bergantung kepada Allah dan menambah ilmu.   Firman Allah (maksudnya) "Katakanlah: Wahai tuhan! Tambahkan daku   ilmu" (Surah Taha:113).     Walaupun ustaz melayu dan orang melayu   selalu membaca hadith palsu "Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China"   (Ini hadith yang palsu seperti yang disebut oleh para ulama. Lihat:   Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut/ / Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah   wa Al-Maudu`ah, 1/600, cetakan: Maktabah al-Ma`arif, Riyadh.). Orang cina tidak membaca hadith   palsu ini, namun mereka bertungkus lumus menuntut ilmu. Budaya membaca di   kalangan orang cina lebih kuat daripada orang melayu. Islam agama yang hebat.   Agama yang mengajar penganutnya amanah, dan tepat janji. Kalau seorang   berniaga dia amanah dan tepat. Islam pentingkan kebersihan sehingga   mensyaratkan kesucian dan kebersihan di dalam solat seorang muslim.   Diharamkan perkara yang keji atau jelik. Diharamkan mendatangi isteri ketika   haid. Diharamkan bangkai dan kekotoran.     Ini semua membimbing seorang hidup   muslim. Lihat firman-firman berikut : Firman Allah   dalam menggambarkan ciri-ciri mukmin sejati : (maksudnya) "Dan mereka   yang menjaga amanah dan janjinya" (Surah al- Mu`minun:8) Firman Allah   tentang mengharamkan perkara-perkara yang jelik maksudnya) : "Iaitu   orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang   mereka dapati tertulis (namanya dan sifat- sifatnya) di dalam Taurat dan   Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang   baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan   ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada   mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka   beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang   yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut   nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang   yang berjaya. (Surah al-`Araf :157)     Sabda RasululLah s.a.w   : "Jauhilah neraka walaupun dengan (bersedekah) setengah biji   tamar. Jika kamu tidak dapati, maka dengan perkataan yang baik".   (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)     Dalam perniagaan jika ruh dan semangat   ini dibawa bersama, tentu orang melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai   atau perniagaannya tentunya bersih, barangannya terjamin halal, janjinya   tepat, dan penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ini membawa   keberkatan dan sekaligus dengan izin Allah kemajuan dalam perniagaannya.   Malangnya, ramai melayu yang tidak mengambil ruh Islam dalam usahanya,   sebaliknya ada yang percayakan kemunduran perniagaannya hanya kerana   "buatan orang" atau "angkara dibomohkan". Saya tidak   menolak wujudnya sihirnya. Al-Quran dan al-Sunnah mengakui kewujudannya   dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak laris atau   bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya adalah dogengan   bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus, mungkin beribu ringgit pulak   terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi penangkis daripada bomoh-bomoh yang   dianggap handal.     Saya pernah ke sebuah kedai makan,   lalu dia mengadu kepada saya bahawa kedainya kena sihir sehingga tidak laku.   Saya secara kebetulan –alhamdulillah- mempunyai sedikit sebanyak   pengetahuan mengenai sihir dan cara mengatasinya, mendapati tiada kesan-kesan   boleh diangggap begitu. Sebaliknya, apa yang saya dapati, pengurusannya   lembab, kurang bersih dan makanannya tidak enak. Dia melupakan ini semua lalu   menuding jari ke pihak lain. Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga   membangkrapkan peniagaan orang lain, suruh sahaja   dia membangkrap barangan Amerika, tidaksusah-susah kita nak boikot!!!     Bagaimana mungkin dalam keadaan   seperti ini orang melayu ingin membawa Islam kepada orang cina yang belum   muslim dan menceritakan Islam telah membentuk insan menjadi berkualiti.   Sebaliknya, ramai peniaga cina jika dibandingkan dengan peniaga melayu lebih   berkualiti pengurusannya dan menampilkan ciri-ciri yang boleh dibangga oleh   pelanggan. Sehingga ramai orang melayu sendiri lebih percaya dalam banyak   perkara kepada kualiti peniaga cina daripada bangsanya sendiri. Di mana `Abd   al- Rahman bin `Auf , sahabi yang selalu dicanangkan   sebagai contoh kepada umat Islam dalam perniagaan?!!. Mungkin orang cina yang   majoritinya bukan muslim lebih menghayati watak tersebut daripada melayu.     Kebelakangan ini sudah agak ramai   orang melayu yang terlibat dengan perniagaan dan menghasilkan keluaran   sendiri. Namun jika kita perhatikan ianya masih dalam lingkungan yang sama.   Kebanyakannya keluaran orang melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak   dilupai ubat tenaga batin. Ada   yang jual kismis jampi, kononnya dengan memakan akan jadi jadi cerdik dan   bijak. Sebenarnya tiada satu hadith yang sahih pun yang menyebut demikian.   Namun apa yang saya bimbang, orang akan menganggap orang melayu kebelakangan   ini penuh dengan berbagai penyakit badan dan kelemahan akal. Dimanakah   tanggungjawab fardu kifayah untuk memenuhi umat jika perniagaan kita masih   sekitar "tenaga batin?!!".     Dalam ceramah agama, ada ramai juga   ustaz-ustaz melayu masih lagi bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di   samping riwayat Israiliyyat dan hadith-hadith palsu yang dibaca di dalam   masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik   perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan.   Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah   menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat NabiNya yang akhir seperti mana   kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau   Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu,   tidak juga mati terkejut, atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan   mereka. Sebaliknya kaum musliminlah yang berjihad dan menghapuskan keduanya   di medan   pertempuran. Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha.   Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w (maksudnya): Dan   mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai   Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami matair dari bumi. Atau   (sehingga) engkau empunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian   engkau mengalirkan sungai- sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang   terpancar terus- menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke   atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga)   engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga)   engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik   ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke   langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami   membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah   aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?".   Dan tiadalah yang menghalang orang- orang musyrik itu dari beriman ketika   datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang   manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah   Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?" (Surah al-Isra`: 90-94).     Demikian baginda s.a.w sendiri tak   mampu membuat apa yang dicabar tanpa keizinan Allah. Mereka meminta langit   berkeping-keping turun ke atas kepada mereka, namun menjawab "Aku hanya   seorang insan yang diutuskan menjadi rasul". Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana   tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta,   sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang   beriman. Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa   cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabah. Kononya   orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid, atau kerana   terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh, atau   berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka mengandaikan perkara   yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke   atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain.   Ramai orang salih juga sakit. Adapun cerita mayat jadi itu dan ini,   kebanyakan andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil   kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik pembaca   setiap keluarannya.     Sehingga seorang cina yang bukan   muslim membaca dan berkata: "Teruknya orang melayu, mati macam-macam   jadi. Kita orang cina melayu cakap kafir pun tak jadi ini macam. Kalau macam   ini tak boleh masuk melayu punya agama laa. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah   punya, mati pun tak boleh senang".     Nyata, kadang-kala Islam melayu   merosakkan kefahaman orang lain. Sepatutnya kesemua ustaz mengajar secara   ilmiah dengan rujukan kitab- kitab muktabar. Bukan merekacipta, atau mengutip   cerita-cerita di jalanan untuk popular.     Jumlah orang melayu yang terlibat   dengan dadah jauh lebih banyak daripada cina. Sehingga saya begitu pelik,   jumlah orang melayu di Singapura lebih sedikit daripada orang cina, namun   begitu, jumlah mereka yang terlibat dengan `benda haram' itu tetap dipegang   rekodnya oleh orang melayu. Bagaimana Islam hendak dikembangkan??!.     Banyak lagi kalau hendak diperkatakan.   Sehinggakan saya terfikir, kalaulah melayu tidak memiliki aqidah Islam, tiada   apa lagi yang istimewa untuk dibanggakan. Kalau orang cina mendapat aqidah   Islam yang sahih, banyak perkara yang mereka miliki membantu kekuatan Islam.   Justeru itu menjadi tanggungjawab kita berusaha mengislamkan majoriti orang   cina. Biar mereka kuasai negara ini, asalkan mereka mukmin yang beriman   kepada seluruh ajaran Islam.     Dengan sedar saya katakan setiap   bangsa ada kekurangan dan kelebihan. Bukan tidak ada sifat-sifat melayu yang   baik, banyak juga. Bukan tidak ada sifat-sifat cina yang buruk, ada. Namun   orang melayu yang kebanyakan dianugerahkan Allah Islam, sepatutnya   menonjolkan ciri- ciri yang baik lebih jelas dan nampak dibandingkan orang   cina. Namun realiti menunjukkan sebaliknya.      |