Monday, January 31, 2005

Dilema wartawan Islam dalam melaporkan isu murtad

Harakahdaily

Monday, January 31 @ 17:35:11 MYT


Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
BARU-BARU ini di pejabat Harakah, saya didatangi beberapa penduduk dari Bandar Sunway yang mahukan saya membuat laporan mengenai isu Kristianisasi di tempat mereka.


Salah seorang wakil penduduk itu mendakwa, ketika ini seorang paderi Kristian menggunakan projek pembinaan tadika untuk merealisasikan dakyah Kristian di segenap tempat di Subang Jaya.

Mereka yang datang kepada saya melahirkan kebimbangan terhadap pembinaan tadika yang dimiliki Crest Stone Bishop Church (CSBC) dan direstui oleh paderi dari gereja berhampiran.

Kata seorang wakil, penduduk Melayu di situ bimbang jika tadika itu dijadikan pusat mengajar dakyah Kristian oleh pemiliknya kerana sebelum ini balai raya di Seksyen 7 turut menjadi mangsa tempat aktiviti keagamaan bagi pennebar Kristian.

Mereka bimbang jika anak-anak yang disekolahkan di situ suatu hari nanti akan terperangkap dengan dakyah Kristian.

Inilah suara kebimbangan masyarakat Melayu yang takut jika anak-anak mereka terjerumus dalam gejala tukar agama tak kiralah agama Kristian ataupun agama lain.

Suatu ketika dahulu, saya juga pernah mengikuti perbicaraan antara seorang mahasiswi dari Johor yang menyaman bapanya kerana enggan memberi persetujuan untuk beliau bernikah dengan pasangannya daripada kalangan bangsa India.

Sedih tidak terhingga apabila saya melihat rintihan bapa dan ibu mahasiswi tersebut yang kesal anaknya dilarikan begitu sahaja oleh lelaki India tersebut untuk dinikahi.

"Saya tak kisah jika beliau (lelaki India) tersebut benar-benar masuk Islam. Tetapi dalam siasatan saya mendapati lelaki dan anak saya tidak mengamalkan ajaran Islam sebaliknya ke kuil untuk tujuan keagamaan.

"Anak saya juga memakai sari dan bertindik di hidung serta mengenakan 'nande' di dahinya. Inikah yang dikatakan ajaran Islam," ujar bapa malang dari Johor itu.

Pada hari perbicaraan tersebut, pasangan lelaki India dan mahasiswi tersebut akhirnya berjaya meloloskan diri lari daripada kawalan ketat polis apabila pihak bapa perempuan mahu mengambil anaknya semula.

Bagaikan gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) melancarkan operasi, lelaki India itu berjaya meloloskan diri bersama wanita tersebut untuk menaiki sebuah kereta bernombor pendaftaran dari Negeri Sembilan.

Polis yang menghalang percubaan ibu bapa pula dengan mudah memberi alasan bahawa anak-anak yang telah melebihi 21 tahun berhak menentukan agama mereka mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sementara kedua ibu bapa remaja perempuan tadi terus menangis dan meratap setelah anak mereka jatuh ke tangan lelaki India yang diragui kesahihannya memeluk Islam.

"Kerajaan tidak pernah memikirkan hak ibu bapa dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan, malah perlembagaan itulah yang memusnahkan pegangan agama anak saya," dakwa ibu remaja tersebut.

Sebak hati saya melihat anak bangsa yang seagama dengan saya dilarikan dengan mudah oleh lelaki yang didakwanya telah masuk Islam.

Gejala murtad dan tukar agama menjadi trauma ibu bapa beragama Islam. Perlembagaan Persekutuan menetapkan remaja berusia lebih 21 tahun berhak menentukan agama mereka sendiri.

Di kampus-kampus institusi pengajian tinggi awam, senario tukar agama atau murtad ini sudah beberapa kali berlaku. Umpannya lelaki kacak, kemewahan dan material. Mahasiswi pula menjadi sasarannya di mana kebanyakannya adalah daripada golongan miskin .

Tampan ala hero Bollywood

Dengan menawarkan sedikit kemewahan dan bantuan kewangan, mahasiswi mudah sekali terperangkap dengan taktik dan umpan lelaki tampan ala hero 'Bollywood'.

Lebih-lebih lagi, masa kini tidak banyak syarikat mahupun pertubuhan yang mahu memberi biasiswa kepada mahasiswa dalam meneruskan pengajian.

Dengan berbekalkan rupa paras ala 'Shahrukh Khan', lelaki-lelaki bukan Islam mudah menjerat mahasiswi-mahasiswi yang mengharap ada orang sedia membantu dalam mengatasi masalah kewangan mereka.

Mana tidaknya, mereka dijanjikan segala macam bantuan jika bertindak menukar agama. Ada juga mahasiswi yang telah pun terlanjur dengan pasangan bukan Islam.

Mereka diugut untuk berkahwin dengan pasangannya yang bukan Islam. Jika enggan berbuat demikian kisah keterlanjuran itu akan didedahkan. Belum lagi soal Kristianisasi dengan cara menggunakan 'holly water'.

Sejak kisah Natrah dan Aisyah Bukhari yang dilaporkan murtad, ibu bapa Islam terus diburu kebimbangan lebih-lebih lagi apabila mereka menghantar anak-anak mereka belajar di kota.

Mereka takut jika anak mereka juga akan mengalami nasib yang sama. Manalah tahu peristiwa Aisyah dan Natrah berulang kepada anak-anak mereka. Akhirnya Perlembagaan Persekutuan akan menyebelahi orang yang murtad.

Sebagai seorang wartawan, saya amat bimbang sekali untuk melaporkan isu-isu murtad itu. Bimbang jika melanggar Perlembagaan Persekutuan. Inilah dilema yang saya hadapi. Antara menyatakan kebenaran dan rasa hati umat Islam terutamanya ibu bapa.

Apalah yang termampu saya buat demi kepentingan umat Islam lebih-lebih lagi saya berada dalam media yang diterbitkan berdasarkan kepentingan umat Islam.

Saya bimbang dan takut jika tidak melaporkannya, di Padang Mahsyar nanti, saya akan ditanya tentang kegagalan itu di hadapan Allah yang Maha Esa. – lanh