Thursday, December 02, 2004

MINDA TOK GURU - BUSH DAN PADERI KRISTIAN; MACAM MANA BOLEH SAMA

diambil dari laman tranung kite :

taraknama menulis - "Ini merupakan satu artikal yang saya rasa sesuai untuk dijadikan renungan kita semua.... fikir-fikirkanlah

MINDA TOK GURU

BUSH DAN PADERI KRISTIAN; MACAM MANA BOLEH SAMA

Seorang Pendakwah Kristian yang bernama Pat Robertson nampaknya beria-ia benar mendesak Bush untuk melihat Islam itu sebagai ganas. Beliau mahu Bush mendedahkan kepada dunia perihal keganasan Islam yang bertolak dari anjuran Al-Quran sendiri. Ini ditegaskan di dalam Akhbar ‘The Washington Times’ dan dimuatkan pula dalam Berita Harian pada 27 November 2002.

2. Saya perhatikan satu sahaja. Semacam ada pakatan antara pihak paderi dengan kuasa dunia yang ada pada waktu ini iaitu Amerika lalu akan disusuli dengan serangan tentera. Ini tidak jauh bezanya dengan tragedi ‘Perang Salib’. Ledakan konflik salib vs Islam itu telah sampai sejauh pesisir pantai Selat Melaka dan Pulau Pinang. Sejarah menyaksikan penjajah Portugis yang disokong oleh paderi, pedagang dan tentera dibawah pimpinan Alfonso D’ Alburquegue benar-benar menandakan sebuah Ahzab yang melibatkan pihak gereja. Begitu juga dengan Francis Light di Province Wallesley. Konspirasi jahat 3 pihak antara paderi, kerajaan kuffar dan kuasa tentera telah lama berlaku. Kenyataan Pat Robertson, paderi nakal dari Amerika ini menjelaskan sebuah dendam perang salib yang panjang dan seakan-akan masih tidak berkesudahan. Umat Islam seluruh dunia sedang membaca fenomena ini.

3. Saya sesungguhnya tidak faham kenapa paderi Kristian ini sangat bencikan agama Islam dan penganut-penganutnya, sedangkan orang Islam tidak pernah membenci orang Kristian. Malah apabila disebut nama Nabi Isa, ia hendaklah dikuti dengan perkataan Alaihissalam. Bukti sikap hormat Islam dan penganut Islam kepada semua Nabi dan Rasul jelas melalui keimanan kita kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan): “Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasulNya”, dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat”. (Mereka berdoa): “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali.”
(Surah Al Baqarah: Ayat 285)

Orang Islam tidak ada dendam langsung terhadap orang Kristian. Saya percaya penganut-penganut Kristianpun pada umumnya tidak akan membara kemarahannya kepada umat Islam jika tidaklah kerana hasutan pemimpin-pemimpin gereja yang berkepentingan demi melangsungkan sebuah hajat khianat kuasa besar untuk menjajah dan menjadi “crook” dan ‘samseng dunia’. Sangat malang bagi paderi Pat Robertson untuk mengapi-apikan Presidennya.

4. Alangkah terpujinya jika pihak paderi di Vatican City berjemaah lalu mengeluarkan fatwa untuk menyedarkan Bush diatas segala kebiadaban dan penyembelihan yang dilakukan terhadap umat Islam. Tidak cukup dengan menghirup darah kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan, kini mereka sedang menyapu misai untuk membedil dan memusnahkan Baghdad diatas nama niat suci mahu memburu pengganas dan menghentikan keganasan. Hairan dan sungguh hairan. Bolehkah keganasan menghentikan keganasan.

5. Tidakkah Majlis Gereja memahami erti darah, nyawa dan harga kemanusiaan? Belum lagi difikirkan kemusnahan bangunan-bangunan lama yang telah menjadi khazanah dan dimiliki dunia. Jika PBB boleh melihat patung-patung Ramsis di Mesir itu sebagai tinggalan warisan zaman lalu menghabiskan wang yang tidak sedikit bagi memelihara dan memagarnya dari ditenggelami oleh pembinaan Empangan Azwan. Paderi Pat Robertson perlu jujur untuk menasihatkan Presidennya yang telah dan sedang mahu memusnahkan Iraq. Mustahil senjata kimia dan bom nuklear Amerika tidak akan menghancurkan bangunan-bangunan antik yang telah menjadi warisan dan khazanah dunia. Dimana hilangnya kepekaan dan nilai budi paderi ini yang kononnya berguru ajaran dari Isa Alaihissalam?

6. Jika diteliti dari sikap Islam dari hal peperangan, Ayat Al Quran banyak menggesa umatnya untuk membuat persiapan bagi menggerunkan musuh. Tahap persiapan adalah mengikut keupayaan ‘sekuasa-kuasa kamu’. Al Quran tidak pernah menganjurkan serangan dibuat dengan tidak bersebab dan hanya bertolak dari sifat rakuskan perluasan empayar untuk tujuan ekonomi dan mabukkan kekuasaan.

7. Dari segi sejarah pula, mana ada sebuah negeri dan kerajaan yang tidak memiliki senjata. Sekecil-kecil kerajaan rumah tangga sekalipun, ada keris, badik dan kapaknya. Ini tidak boleh dijadikan bukti keganasan.

8. Nabi Muhammad S.A.W. dihidupkan selama 63 tahun. Baginda telah diberikan satu tempoh yang lengkap bagi mengemukakan Islam sebagai petunjuk yang penuh lengkap. Ini termasuklah juga aspek perdamaian dan peperangan; akhlak menyerang dan bertahan apabila diserang. Nabi Isa Alaihissalam sangat singkat kahadirannya. Baginda tidak sempat berkahwin dan terpaksa diangkatkan ke langit untuk diselamatkan oleh Allah S.W.T. daripada pengkhianatan pemimpin-pemimpin Kristian dan yahudi yang celaka. Sejarah sangat setia dan telah membuktikan kebenaran ini.

9. Kenapa paderi tidak menegur Amerika apabila Hiroshima dan Nagasaki dihancurkan menjadi padang jarak padang terkukur. Kemana menghilangnya suara paderi semasa Tora Bora dikoyak dan dilebur oleh lontaran dan letupan bom serta senjata merbahaya.

10. Mengenai sikap sinis orang barat semata-mata kerana berpandukan perawakan akan orang barat dan Arab selepas insiden 11 September 2001, saya melihat orang ini amat berbeza dengan pendirian umum masyarakat Islam. Kita tidak melahir dan mengasaskan kebencian hanya kerana perawakan. Kita tidak pernah bencikan Amerika kerana ia itu Amerika. Apa yang masyarakat Islam bencikan adalah polisi pemimpinnya. Mengasaskan kebencian kerana membawa perawakan orang Islam jauh dari sikap bertamaddun. Jika diikutkan laporan tahunan jenayah dan kebencian oleh FBI yang mendapati bahawa berlakunya lonjakan sebanyak 160% kebencian terhadap orang Islam maka hampir mengesahkan bahawa peristiwa letupan ke atas Pentagon dan Bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York adalah angkara rancangan Yahudi. Mereka sengaja melahirkan kebencian serta merta terhadap Islam dengan menuding angkara letupan itu kepada dunia Islam. Walaupun sampai kini tidak ada bukti konkrit tetapi Amerika melalui sokongan paderi khianat seperti Pat Robertson ini telah menyebar dan mencacak bendera Amerika di seluruh pelusuk dunia. Diatas nama ‘memburu hantu’ yang tidakpun kelihatan, dibuktikan oleh dunia, Amerikalah yang sedang menjadi ‘polong’ yang menghirup darah manusia. Orang-orang seperti Paderi Pat Robertson inilah yang sedang terbang menjadi pontianak.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh: 23 Ramadhan 1423 / 28 November 2002"